Artikel

Malaysia Teliti Secara Serius Galak Guna Mata Wang Tempatan – Pada Perdagangan Global

Senada dengan matlamat semasa untuk mengukuhkan persekitaran ekonomi di samping mengurangkan risiko turun naik pertukaran asing, Malaysia kini dilihat secara serius meneroka perluasan penggunaan mata wang tempatan bersama rakan dagang globalnya.

Langkah proaktif ini jelas diperlihatkan menerusi kerjasama erat yang telah dicapai antara Malaysia dan China. Untuk rekod, sekitar 23% daripada jumlah keseluruhan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kini berjaya diselesaikan menggunakan mata wang tempatan.

Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada laporan Bernama, usaha murni ini turut mendapat sambutan positif daripada India, yang bersetuju untuk menggalakkan penggunaan gandingan Ringgit-Rupee dalam urus niaga pasaran hadapan dan pelaburan dua hala. Selain China dan India, strategi memperkasakan mata wang tempatan ini telah pun dilaksanakan bersama rakan serantau seperti Indonesia dan Thailand, selain perbincangan terbaharu bersama Rusia bagi meneroka mekanisme perdagangan menggunakan Ringgit dan Ruble.