Bermula 19 Jun ini, Perodua memaklumkan pengurangan kos penyelenggaraan kenderaan menerusi penurunan harga alat ganti serta kos upah di rangkaian pusat servis seluruh Malaysia. Perihal ini seiring dengan matlamat kumpulan untuk membantu pengguna menangani tekanan lonjakan kos semasa.
Penawaran ini menurut laporan The Edge bagaimanapun tertakluk kepada harga alat ganti komponen penyelenggaraan yang terlibat serta kos upah yang dikenakan pada perkhidmatan tersebut.
Menerusi tawaran tersebut, para pengguna Perodua dijangka menikmati penjimatan sebanyak 10% daripada jumlah bil penyelenggaraan semasa. Menariknya pelaksanaan ini dijelaskan turut melibatkan semua model Perodua termasuklah kenderaan elektrik (EV) iaitu unit pertamanya QV-E. Usaha ini dilihat tidak sekadar meringankan bebanan kos pengguna tetapi turut menambahbaik nilai perkhidmatan Perodua bersama pengguna secara berkala di pasaran Malaysia.