Artikel

AS-Iran: Ini Perkara Penting Kandungan Memorandum Yang Dicapai

Minggu ini menyaksikan satu titik pusingan geopolitik dunia apabila Amerika Syarikat (AS) dan Iran bertindak memuktamadkan perjanjian damai. Susulan pengumuman tersebut, kandungan memorandum peleraian konflik antara kedua-dua kuasa besar ini mula dikongsi kepada awam. Ini perkara penting yang wajib anda tahu:

Penamatan Konflik Serta-Merta, Selamanya

AS, Iran serta sekutu masing-masing telah mengumumkan persetujuan untuk menghentikan serta-merta semua operasi ketenteraan di seluruh wilayah terkesan, termasuk di Lubnan. Menerusi kesepakatan ini, kedua-dua belah pihak berjanji untuk tidak lagi mencetuskan peperangan, mengelakkan penggunaan kekerasan, serta menghormati sepenuhnya kedaulatan dan sempadan Lubnan.

Perjanjian Muktamad Dalam Tempoh 60 Hari

Kedua-dua negara turut memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan rundingan rasmi bagi mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh maksimum 60 hari. Bagaimanapun, tempoh masa ini boleh dilanjutkan sekiranya mendapat persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Sekatan Laut Ditamatkan

Rentetan daripada penamatan konflik ini, AS bersetuju untuk menarik balik sekatan ke atas laluan laut dan pelabuhan Iran berkuat kuasa serta-merta. Persetujuan ini juga memperuntukkan pengunduran tentera AS dari kawasan berhampiran Iran dalam tempoh 30 hari selepas perjanjian itu dimuktamadkan. Sebagai rekod, sekatan laut yang dikuatkuasakan sejak 13 April lalu bukan sahaja melumpuhkan aliran perdagangan Iran, malah turut menjejaskan rantaian perdagangan global.

Selat Hormuz Dibuka Semula

Susulan penamatan sekatan laut tersebut, Selat Hormuz kini dibuka semula sepenuhnya kepada laluan perdagangan dunia. Dalam hal ini, Iran memberikan jaminan bahawa kapal-kapal komersial yang melalui selat strategik itu tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan atau bayaran khusus.

$300 Bilion Akan Disalurkan, Bantu Bangunkan Semula Iran

Menyedari impak konflik yang memusnahkan infrastruktur dan menjejaskan sumber negara, AS bersama rakan serantaunya akan merangka pelan pembangunan ekonomi serta pembinaan semula Iran yang dianggarkan bernilai $300 bilion. Peruntukan besar ini bukan sahaja bertujuan memulihkan kesan kemusnahan, malah bakal memacu kembali penglibatan ekonomi Iran di peringkat global.

Sekatan Ekonomi Ditamatkan – Kembalikan Semula Aset Iran Bernilai $25 Bilion

Selain itu, semua bentuk sekatan ekonomi terhadap Iran akan dimansuhkan secara terperinci, termasuk pemulangan semula aset milik Iran yang dibekukan bernilai sekitar $25 bilion bagi membantu mempercepatkan pemulihan kewangan mereka. Pada masa yang sama, Jabatan Kewangan AS akan mengeluarkan pengecualian khas bagi eksport minyak mentah, produk petroleum, dan terbitannya, selain membenarkan semula semua perkhidmatan berkaitan seperti transaksi perbankan, insurans, serta pengangkutan.

Senjata Nuklear Tidak Akan Dibangunkan

Mengenai program nuklear Iran, Tehran bersetuju untuk mengekalkan status quo semasa sementara menunggu perjanjian pendamaian tersebut dimuktamadkan. Melalui kesepakatan penuh yang dicapai kelak, Iran memberi jaminan tidak akan memperoleh atau membangunkan sebarang senjata nuklear. Seterusnya, proses pelupusan uranium yang dimiliki Tehran akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi kaedah pencairan di tapak projek di bawah pengawasan ketat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Tandatangan Perjanjian Damai

Memorandum persefahaman ini telah ditandatangani secara elektronik pada hari ini, manakala satu majlis rasmi dijadualkan berlangsung pada Jumaat (19 Jun) di Switzerland bagi memperingati detik bersejarah berkenaan. Sejurus selepas itu, fasa rundingan di peringkat teknikal akan bermula bagi memenuhi tempoh garis masa yang ditetapkan untuk memuktamadkan perjanjian damai tersebut.

PBB Jadi Saksi Pengesahan Perjanjian Ini

Bagi memastikan komitmen damai ini dilaksanakan secara telus dan bukan sekadar janji kosong, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bertindak sebagai badan bertanggungjawab untuk mengesahkan rundingan tersebut. Langkah ini sekali gus memberikan jaminan perundangan antarabangsa yang kukuh, bukan sahaja kepada AS dan Iran, malah kepada seluruh komuniti global.