Artikel

Kadar Pengangguran Malaysia Kembali Naik Kepada 3.0% – Rekod 511,800 Penganggur

Kadar pengangguran di Malaysia dilihat kembali memaparkan peningkatan kepada 3.0% dengan merekodkan 511,800 penganggur setakat April lalu.

Peningkatan ini jelas tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dipengaruhi kesan ketidaktentuan pasaran semasa. Menyebabkan tekanan kos minyak mentah, kos pengangkutan lebih tinggi serta kekangan logistik mendorong kepada lonjakan kos pengeluaran serta perbelanjaan operasi perniagaan merentasi pelbagai sektor ekonomi berlaku.

Persekitaran ini sekali gus turut memberi tempias kepada aliran kadar pengangguran di Malaysia. Antaranya, mengikut rekod April – kategori usia 15 hingga 30 tahun, memaparkan peningkatan 0.1 mata kepada 6.3% iaitu 394,700 penganggur.

Biarpun alami peningkatan, prospek ekonomi Malaysia disasarkan terus berdaya saing dengan sokongan pengembangan aktiviti pelaburan, permintaan pembuatan bernilai tinggi serta penggunaan swasta yang kekal berdaya tahan. Selaku negara pengeksport, Malaysia berpotensi memperoleh manfaat daripada peningkatan hasil eksport berkaitan tenaga. Namun, syarikat yang bergantung kepada input import, perkhidmatan pengangkutan dan proses pengeluaran yang berintensifkan tenaga berkemungkinan berdepan tekanan kos yang lebih tinggi.

Dan selari dengan kesan tersebut, DOSM turut menggariskan keperluan persediaan pada perubahan permintaan arena pekerjaan tempatan. Di mana kini memperlihatkan perluasan penggunaan automasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) yang dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berasaskan pengetahuan, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap pekerjaan berkemahiran rendah dalam industri tertentu secara beransur-ansur.

Oleh itu, usaha berterusan dalam peningkatan kemahiran, latihan semula dan pembangunan bakat akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kebolehsuaian tenaga kerja serta daya tahan pasaran buruh dalam jangka panjang dicapai Malaysia.