Artikel

Kutip Derma Itu Mudah – Tetapi Mengapa Bukan 100% Duit Disalurkan?

Sifat pemurah dan mudah bersimpati sememangnya dilihat begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia. Manakan tidak, pantang kita melihat poster kesempitan hidup, tabung bencana atau video berkonsep simpati di media sosial – tangan kita pasti laju untuk klik pada butang Transfer. Tindakan itu seolah-olah memberi kita kepuasan emosi, merasa tenang kerana menyangka RM10 atau RM50 yang disumbangkan akan terus bertukar menjadi sebungkus makanan atau ubat-ubatan buat mereka yang benar-benar memerlukan.

Namun di sebalik tindakan baik itu, masih ramai yang tidak tahu realiti sebenar dalam pengurusan kutipan sumbangan ini – ramai orang miliki tanggapan setiap sen wang mereka akan sampai bersih ke tangan penerima hakikatnya ekosistem kebajikan moden ini memerlukan dana yang lebih besar untuk terus beroperasi. Tahukah anda sebahagian duit ringgit anda sebenarnya digunakan untuk membiayai entiti pengutip itu sendiri?

Kos Sebenar Mengutip Derma

Hakikat yang perlu diterima oleh setiap penyumbang adalah menguruskan organisasi kebajikan bukanlah tugas percuma, ia memiliki kos.

Berdasarkan piawaian industri semasa, garis panduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bersandarkan kepada Garis Panduan Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggariskan sebuah organisasi kebajikan yang telus sebenarnya dikunci dengan had siling maksimum 20% sahaja daripada keseluruhan pendapatan tahunan mereka untuk digunakan bagi tujuan operasi dan pentadbiran.

Ini bermakna jika anda menderma RM100, minimum sekitar RM50 sehingga RM80 akan diperuntukkan terus untuk misi bantuan fizikal manakala baki maksimum RM20 lagi akan diserap masuk ke bahagian pengurusan mengutip derma.

Ya, anda benar potongan itu adalah sah dan bukan tindakan jenayah pecah amanah.

Ini kerana sebarang organisasi perlu menampung kos operasi bagi setiap tugasan – melibatkan penyewaan hab kebajikan, logistik bantuan, bil utiliti pejabat dan gaji petugas kebajikan yang terlibat di lapangan. Dan untuk era serba digital, kos pengiklanan pada medium media sosial seperti Facebook, TikTok, X dan Instagram turut menuntut kos bagi tindakan menarik lebih ramai kumpulan penderma.

Isu Kelompongan Audit – Pengawal Selia Tahu, Tetapi Awam Tidak Tahu

Biarpun potongan ini sah, mengapa masih ramai yang tidak tahu akan pelarasan ini? Isunya mengikut pengamatan penulis terletak pada kelompongan sistem pelaporan di Malaysia. Buat pengetahuan umum, sebahagian besar NGO di Malaysia dikawalselia  di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melalui Akta Pertubuhan 1966 yang lebih bersifat pentadbiran am. Yang mana undang-undang kita digubal berasaskan konsep Penyerahan kepada Pengawal Selia semata bukan Penerbitan Terbuka Mandatori. Di bawah akta ini dijelaskan tidak mengandungi sebarang keperluan yang mewajibkan sistem pelaporan diterbitkan kepada awam.

Ini bermakna, sekiranya NGO telah menyerahkan laporan kewangan kepada ROS atau LHDN, kumpulan ini dianggap telah memenuhi piawaian perundangan. Ketiadaan kewajipan untuk memaparkan audit aliran tunai secara terbuka dan berpusat di laman rasmi membuatkan sebahagian masyarakat awam terus menderma tanpa menyedari kewujudan potongan 20% tersebut.

Ayuh Jadi Penderma Bijak, Bukan Sekadar Penuhi Tuntutan Sosial

Pendedahan mengenai potongan sumbangan ini sebenarnya bukanlah bertindak untuk mengecilkan hati sebilangan pihak untuk membantu mendapatkan bantuan mahupun menderma sebaliknya ia menuntut satu anjakan sikap yang drastik. Sudah tiba masanya kita mengubah tabiat menyumbang secara melulu hanya berdasarkan naratif tertentu. Menjadi pemurah tidak bermakna kita perlu menjadi naif.

Sebelum bersetuju memberi sumbangan, kita selaku penderma memiliki tanggungjawab sendiri dalam menyemak kredibiliti dan latar belakang NGO terlibat serta menilai sama ada peratusan kos pengurusan yang diambil mereka adalah munasabah atau sebaliknya. Dengan mendidik diri menjadi penderma yang serba persoalan, tindakan ini secara langsung turut mendorong lebih ramai kumpulan NGO meningkatkan piawaian tadbir urus mereka untuk mengekang sebarang cubaan manipulasi dana sosial.