Selaras dengan objektifnya selaku aplikasi sehenti kebangsaan, aplikasi MyGOV kini membolehkan rakyat Malaysia untuk menyemak maklumat harga minyak petrol mingguan secara terus dan lebih pantas.
Berdasarkan kemas kini baharu, pengguna hanya perlu merujuk pada bahagian perkhidmatan pengangkutan di dalam aplikasi untuk melihat paparan harga minyak petrol semasa. Kemudahan ini merangkumi semakan perubahan harga kedua-dua kategori iaitu petrol bersubsidi dan tanpa subsidi.
Langkah proaktif ini dijangka dapat memberi impak yang besa dan memudahkan urusan harian kepada sekitar 2.2 juta rakyat Malaysia yang direkodkan telah mendaftar sebagai pengguna MyGOV.
Selain semakan harga petrol, aplikasi MyGOV turut mengintegrasikan 50 perkhidmatan lain merentasi 19 agensi kerajaan. Antaranya melibatkan ekosistem perkhidmatan seperti MyJPJ, MySejahtera, PriceCatcher, Wang Tidak Dituntut (WTD) dan inisiatif Rahmah.