Artikel

Pos Malaysia Satukan Khidmat Kurier Domestik, Antarabangsa – Di Bawah Jenama Pos Laju

Pos Malaysia kini dalam proses menyatukan perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsanya di bawah satu jenama tunggal, iaitu Pos Laju.

Langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada transformasi berterusan syarikat bagi memudahkan akses penghantaran serta memperkukuh kedudukan Pos Laju sebagai platform yang dipercayai kalangan PKS tempatan. Sebelum ini, pengguna sering berdepan dengan pengasingan jenama mengikut destinasi di mana penghantaran dalam negara menggunakan Pos Laju, manakala urusan antarabangsa diletakkan di bawah perkhidmatan global.

Dengan penyatuan ini, pelanggan tidak lagi perlu membezakan jenis perkhidmatan yang rumit, sebaliknya boleh bergantung kepada satu identiti Pos Laju yang lebih menyeluruh.

Menurut notis, usaha ini dijangka dapat menawarkan proses dokumentasi dan penghantaran yang lebih mudah, jelas, dan lancar untuk semua pelanggan melibatkan 230 negara dan wilayah. Ia sekaligus menjawab keperluan pengguna yang mahukan proses ringkas tanpa perlu berdepan sistem atau borang yang berbeza untuk destinasi luar negara.

Proses peralihan ke platform tunggal ini dijelaskan akan dilaksanakan secara berperingkat merentasi semua platform digital, cawangan runcit, dan saluran perniagaan bagi memastikan kelancaran operasi buat seluruh pelanggan mereka.