Artikel

Mahkamah Singapura Perintah Sita Pegangan Capital A Dalam BigPay, Teleport

Mahkamah Tinggi Singapura telah mengeluarkan perintah untuk menyita pegangan saham milik Capital A dalam BigPay dan Teleport hasil penguatkuasaan timbang tara melibatkan pengasas bersama BigPay.

Langkah ini diambil selepas anak syarikat milik penuh Capital A, Move Digital Sdn Bhd, dikehendaki membeli pegangan minoriti pengasas bersama BigPay, Christopher Davison dan Navin Rajagopalan, melibatkan bayaran sebanyak AS$14.736 juta. Di bawah notis tersebut, aset milik Move Digital yang disita terdiri daripada 204.81 juta saham mewakili 99.56% pegangan dalam BigPay serta 481,730 saham atau 11.45% kepentingan dalam Teleport Everywhere.

Pertikaian korporat ini bermula pada tahun 2021 apabila Christopher Davison dan Navin Rajagopalan memulakan proses timbang tara terhadap AirAsia Digital (yang kini dikenali Move Digital), AirAsia Berhad, dan BigPay mengikut peraturan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura. Tindakan itu diambil selepas AirAsia Digital menamatkan perjanjian pemegang saham dan pelaburan yang dimeterai pada 2017 berkaitan pelaburannya dalam BigPay.

Kedua-dua pemegang saham minoriti tersebut menyatakan berlaku pelanggaran perjanjian pelaburan, penamatan secara salah, serta penindasan pemegang saham minoriti mengikut undang-undang Singapura.

Tuntutan awal itu dijelaskan adalah antara AS$140 juta hingga AS$183 juta. Namun tribunal timbang tara pada Disember 2024 hanya memerintahkan AirAsia Digital membeli semula saham berkenaan pada nilai AS$14.736 juta, iaitu jauh lebih rendah daripada tuntutan asal mereka. Selain penguatkuasaan penyitaan yang sedang berlaku ketika ini, kos tersebut turut melibatkan langkah pemulihan faedah tertunggak yang terkumpul daripada beberapa perintah kos dalam prosiding di Singapura.

Kedudukan ini sekali gus memberi kesan kepada Capital A berikutan Teleport menjadi antara penyumbang utama pada hasil kumpulan dengan 40% hasil. Maka Capital A pada makluman Bursa Malaysia memiliki cadangan untuk mengemukakan bantahan bertulis terhadap tindakan penguatkuasaan tersebut kerana percaya mereka mempunyai asas yang sah untuk mencabar proses penyitaan berkenaan. Sebelum ini pada 18 Mei, Capital A juga telah mendahulukan sejumlah RM24.13 juta kepada BigPay menerusi Move Digital bagi menyokong operasi dan urusan kewangan syarikat tersebut.