Hasil kerjasama strategik dengan CrediBill Sdn Bhd yang dikuasakan CapBay, iaitu platform Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL), kelak lebih 8,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor kesihatan dapat meraih manfaat fleksibiliti pembayaran ansuran pada pembelian produk kesihatan bersama Pharmaniaga.
Kemudahan ini mengikut laporan antaranya melibatkan PKS segmen klinik, farmasi dan pergigian.
Seperti yang umum sedari mengikut data Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) didapati lebih 70% daripada 10,000 klinik swasta di Malaysia sekadar menjana pendapatan kurang daripada RM60,000 sebulan – menyebabkan tekanan kos operasi syarikat terus meningkat dan menjejaskan keperluan pembelian stok kesihatan.
Maka dengan fleksibiliti ini, ia dapat membantu PKS menangani tekanan aliran tunai mereka pada persaingan pasaran semasa. Berdasarkan perincian lanjut, ansuran ini tersedia sehingga tempoh 90 hari bagi pembelian produk farmaseutikal dan penjagaan kesihatan tanpa sebarang kos tambahan. Selain memudahkan kumpulan PKS, Pharmaniaga melihat tindakan ini sebagai langkah kumpulan untuk terus mengukuhkan rantaian produk dan peranan syarikat pada pasaran semasa.