Artikel

Maybank Tampilkan Maybank2E Serba Baharu – Jadikan Urusan Perniagaan Lebih Cekap

Maybank hari ini secara rasminya telah menampilkan akses generasi seterusnya bagi platform Maybank2E (M2E), sebuah penyelesaian perbankan perniagaan serantau bersepadu yang direka untuk meningkatkan kecekapan pengurusan transaksi dan pembayaran di seluruh pasaran Asean.

Platform yang dinaiktaraf ini dilihat menggabungkan penyelesaian pengurusan tunai, pembiayaan perdagangan, serta pertukaran mata wang asing di bawah satu log masuk tunggal. Langkah ini disasarkan khusus untuk penuhi keperluan operasi pelbagai skala perniagaan bermula daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehinggalah kepada syarikat korporat gergasi.

Pembaharuan medium turut perlihatkan pengenalan papan pemuka tunggal untuk mengaktifkan pelbagai penyelesaian perbankan, akses jarak jauh melalui peranti mudah alih serta keupayaan memantau kedudukan tunai dan aliran perniagaan merentasi sempadan dalam satu paparan digital. Menariknya, para pengguna berkaitan turut boleh mengunci kadar pertukaran FX untuk lebih daripada 20 mata wang asing.

Secara menyeluruh, pengenalan M2E generasi baharu ini adalah sebahagian strategi ROAR30 untuk menjadikan Maybank selaku bank transaksi dan pilihan ramai di pasaran serantau. Berdasarkan rekod, tahun 2025 memperlihatkan nilai transaksi M2E mencapai RM3 trilion bersama 122 juta transaksi di Malaysia. Kedudukan itu dijangka dapat dipacu dengan membolehkan lebih ramai pemain ekonomi meningkatkan kecekapan operasi mereka bersama M2E generasi baharu ini.