Sekiranya rundingan kedua negara gagal dicapai, Thailand dilihat berpotensi membangkitkan isu penggantungan sementara import 5 spesis udang yang dilaksanakan Malaysia ke atas mereka sejak 1 Jun lalu kepada forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN.
Buat pengetahuan umum, sekatan import udang dari Thailand ini adalah sebahagian langkah Malaysia dalam menambahbaik kawalan lebih ketat terhadap produk perikanan dari Thailand. Keputusan ini dibuat melalui kerjasama Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.
Selain sekatan sementara import udang itu, Malaysia turut menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis atau Certificate of Analysis (CoA) bagi ikan siakap dari Thailand.
Pelaksanaan sekatan sementara ini jelas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan berkuat kuasa sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi yang lengkap terhadap soal selidik yang dikemukakan Malaysia berhubung kawalan tersebut. Antara sekatan import udang yang dilaksanakan adalah udang harimau coklat, udang pisang, udang putih, udang harimau dan udang biru.