Artikel

Pos Malaysia Tampilkan Setem Edisi Khas – Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Selari dengan inisiatif Malaysia untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya negara, destinasi ikonik serta semangat perpaduan yang menjadi identiti negara. Pos Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan keluaran setem khas bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Buat pengetahuan umum, set edisi khas ini dijual pada harga RM62.60 merangkumi dua set setem se-tenant yang menampilkan empat reka bentuk masing-masing berharga RM0.50 dan RM1.30, bersama satu helaian mini, Sampul Surat Hari Pertama dan setem, Sampul Surat Hari Pertama bersama helaian mini, dua keping poskad serta folder peringatan rasmi, menjadikannya koleksi lengkap sempen keluaran istimewa ini.

Selain itu, dua reka bentuk poskad khas turut ditawarkan pada harga RM2.50 sekeping dan boleh dibeli bersama setem serta bahan filateli VM2026 yang lain mulai pelancaran hari ini.

Menariknya koleksi kali ini menampilkan beberapa mercu ikonik di seluruh Malaysia – melibatkan Gua Kelam (Perlis), Pulau Langkawi (Kedah), Bukit Bendera (Pulau Pinang), Wau Bulan (Kelantan), Muzium Negeri Terengganu (Terengganu), Cameron Highlands (Pahang), Menara Jam Condong Teluk Intan (Perak), Bangunan Sultan Abdul Samad dan Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur), Bukit Melawati (Selangor), Istana Lama Seri Menanti (Negeri Sembilan), Kota A’ Famosa (Melaka), Masjid Sultan Abu Bakar (Johor), Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Burung Kenyalang (Sarawak), serta Sigah dan Kera Proboscis (Sabah).

Helaian mini yang tersedia pada koleksi ini untuk makluman menampilkan Wira dan Manja, maskot rasmi Kempen VM2026 yang diinspirasikan daripada Beruang Matahari-spesies beruang terkecil di dunia yang berasal dari Asia Tenggara. Sebagai spesies terancam yang menghuni hutan hujan tropika Malaysia, Beruang Matahari melambangkan kekayaan biodiversiti negara serta komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar.

Tidak hanya itu, pelanggan juga boleh mendapatkan cop khas VM2026 yang disediakan di 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara serta Pejabat Pos Kangar, Perlis. Pengunjung boleh mendapatkan cop khas tersebut dan menggunakannya pada pelbagai bahan seperti pasport setem, poskad dan jurnal sebagai kenangan istimewa sepanjang perjalanan mereka. Inisiatif ini dijangka akan diteruskan sepanjang tempoh Kempen VM2026.

Maka untuk memiliki edisi khas ini, semua pihak boleh mendapatkannya di 90 Biro Filateli di seluruh negara, termasuk 13 Pejabat Pos Besar, pejabat pos terpilih serta menerusi kedai dalam talian Pos Malaysia di www.pos.com.my/shop, selagi stok masih ada.