Suku pertama 2026 memperlihatkan pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia merekodkan penyusutan 5.5% secara tahunan dengan pengeluaran sebanyak 43 juta tong berbanding 45.5 juta tong dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Tinjauan Jabatan Perangkaan (DOSM) ini mendedahkan penurunan ini dipengaruhi pengeluaran minyak mentah yang terus memaparkan penguncupan 9.4% dengan jumlah pengeluaran berkurang kepada 28.1 juta tong berbanding 31.5 juta tong yang direkodkan sebelum ini. Namun pengeluaran Kondensat memaparkan pertumbuhan 3.0% kepada 14.9 juta tong berbanding 14.4 juta tong pada tahun sebelumnya.
Dengan penyusutan ini, ia sekali gus memperlihatkan pengurangan nilai eksport petroleum mentah dan kondensat kepada RM5.2 bilion berbanding RM6.1 biion tahun sebelumnya. Penurunan ini selari dengan eksport keluaran petroleum bertapis yang turut merekodkan pengurangan marginal kepada RM22.9 bilion berbanding RM23.9 bilion pada suku sebelumnya. Pada masa yang sama, eksport Gas asli cecair (LNG) turut merekodkan penurunan kepada RM12.9 bilion pada suku ini berbanding RM13.6 bilion pada suku sebelumnya.
