Artikel

MMC Port Dilaporkan Dekati Pelabur Baharu Setelah Tangguh IPO – Sasar Penilaian RM40 Bilion

MMC Port Holdings, syarikat pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia kini dilaporkan sedang meneliti pelabur baharu untuk membeli pegangan minoriti dalam syarikat tersebut. Langkah strategik pemiliknya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary ini diambil selepas rancangan untuk menyenaraikan syarikat itu di bursa saham menerusi tawaran awam permulaan (IPO) ditangguhkan pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan Bloomberg, MMC Port telah mula meninjau beberapa syarikat gergasi di Asia serta dana pelaburan yang fokus dalam bidang infrastruktur. Melalui perbincangan awal ini, sasaran penilaian yang cukup tinggi telah diletakkan untuk keseluruhan perniagaan pelabuhannya, iaitu lebihi US$10 bilion.

Proses rundingan itu bagaimanapun masih berada di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan muktamad yang dibuat oleh mana-mana pihak. Pihak pengurusan MMC Port juga memilih untuk tidak memberikan sebarang komen rasmi mengenai spekulasi pasaran dan urus niaga yang sedang berjalan ketika ini. Untuk rekod, MMC Port merupakan pemain industri yang sangat strategik kerana mengendalikan tujuh buah pelabuhan utama di sepanjang Selat Melaka, yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

Sebelum ini, pelan penjualan saham kepada syarikat gergasi Global Infrastructure Partners juga pernah dibatalkan, menjadikan usaha kali ini tumpuan utama pelabur dalam dan luar negara.