Artikel

TNG eWallet Kini Perlihat Logo Baharu – Selari Lonjakan 50% Hasil Segmen Bukan Pembayaran

Setelah bertindak memaparkan konsep logo ralat, Touch ‘n Go eWallet hari ini secara rasminya mula perlihatkan perubahan logo aplikasi kepada identiti digital yang lebih segar kepada semua pengguna.

Pengenalan yang dikongsikan pada sidang media hari ini, menjelaskan perubahan tersebut adalah selari dengan matlamat kumpulan, Touch ‘n Go Digital (TNG Digital) untuk tidak sekadar tampil selaku penyedia pembayaran dompet digital tetapi menawarkan perkhidmatan kewangan yang lebih besar kepada pengguna Malaysia.

Dalam perkembangan baharu, TNG Digital ketika ini telah meraih satu pencapaian besar apabila segmen bukan pembayaran merangkumi pelaburan, insurans, pinjaman, dan gaya hidup — kini menyumbang lebih 50% daripada pendapatan keseluruhan syarikat. Peralihan struktur kewangan ini membuktikan perubahan ketara berlaku dalam kalangan pengguna, yang kini tidak lagi melihat aplikasi tersebut sebagai dompet digital semata-mata. Sebaliknya, ia telah berevolusi menjadi sebuah aplikasi sehenti utama yang kritikal dalam menguruskan ekosistem kehidupan seharian masyarakat.

Kemajuan ini tidak menghairankan susulan kini TNG eWallet memiliki pangkalan data pengguna yang besar iaitu melebihi 26 juta pengguna berdaftar di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, seramai 13.5 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan aplikasi ini setiap bulan dengan purata kekerapan sebanyak dua kali sehari. Pada masa yang sama, segmen antarabangsa turut memamerkan prestasi luar biasa apabila ciri penghantaran wang ke luar negara serta pembayaran rentas sempadan kini melonjak dan menyumbang sebanyak 10% kepada jumlah hasil keseluruhan syarikat.

Dan berbalik kepada kemaskini aplikasi, TNG eWallet turut memaklumkan reka bentuk semula halaman utama aplikasi mula dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna. Yang mana aplikasi akan mengetengahkan konsep utamakan carian, wajah baharu ini membolehkan fungsi kegemaran diakses dengan jauh lebih pantas tanpa melalui rantaian menu yang rumit. Malah, semua perkhidmatan kini distrukturkan dengan lebih kemas melalui pembahagian empat hab utama yang paling kerap digunakan oleh masyarakat iaitu GOfinance (kewangan), Near Me (tawaran makanan berhampiran), Bills (pembayaran bil), dan Transport (pengangkutan).

Maka untuk ketahui lanjut pengalaman baharu bersama TNG Digital, semua pihak boleh memuat turun aplikasi TNG eWallet dan layari laman rasmi TNG Digital untuk perincian seterusnya.