Artikel

56% Isi Rumah PPR Didapati Tidak Mampu Bertahan Lebih Dari 3 Bulan Wang Simpanan – Tinjauan

Ternyata sekitar 56% daripada isi rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) memiliki jumlah simpanan kecemasan yang mampu bertahan selama 1 hingga 3 bulan sahaja. Dengan 40% daripada isi rumah bergantung sepenuhnya kepada hanya seorang pencari nafkah bagi menyara keluarga.

Tinjauan sosial yang dijalankan Think City ini mendedahkan realiti ekonomi yang membimbangkan mengenai daya tahan kewangan penduduk di PPR dan Perumahan Awam (PA) sekitar Lembah Klang. Penilaian melibatkan  2,884 isi rumah merentas 10 tapak perumahan menunjukkan bahawa majoriti komuniti ini hidup dalam keadaan rapuh terhadap kejutan ekonomi.

Lebih memburukkan keadaan, statistik kajian turut mendedahkan bahawa sebanyak 17.4% daripada keseluruhan responden langsung tidak mempunyai sebarang tabungan atau dana simpanan. Keadaan ini meletakkan mereka dalam risiko yang sangat tinggi sekiranya berlaku sebarang gangguan luar jangka seperti masalah kesihatan ahli keluarga, kerosakan kenderaan, atau kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, yang mana boleh mengheret mereka dengan lebih dalam ke kancah kemiskinan tegar.

Selain kebergantungan kepada pendapatan tunggal, faktor struktur isi rumah turut menyumbang kepada perangkap kemiskinan yang menyukarkan usaha penabungan. Saiz isi rumah purata di kawasan PPR yang dikaji adalah sebanyak 4.19 orang, iaitu lebih tinggi berbanding purata kebangsaan. Malah, wujud budaya isi rumah berbilang generasi yang merangkumi penginapan bersama datuk, nenek, ibu bapa, dan anak-anak di dalam unit pangsapuri yang sempit.

Situasi ini, ditambah pula dengan tanggungjawab penjagaan anak-anak dan warga emas yang menghalang golongan wanita daripada menyertai pasaran tenaga kerja, terus mengehadkan pertumbuhan pendapatan dan keupayaan isi rumah untuk menyimpan demi masa depan.