Berkuat kuasa 22 Mei lalu, AEON Bank kini mengumumkan lantikan Mohammad Ridzuan Abdul Aziz selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bank digital islamik tersebut – bagi menggantikan pengunduran Raja Teh Maimunah pada akhir Mac lalu.
Sebelum mandat baharu ini diberikan, Mohammad Ridzuan memikul peranan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di AEON Bank. Sehubungan dengan peletakan jawatan pemegang terdahulu, beliau turut menggalas tanggungjawab utama sebagai pegawai penjaga interim bagi memastikan kelancaran operasi bank digital berkenaan bermula 1 April lalu.
Beliau bukan nama asing dalam landskap korporat apabila memiliki pengalaman luas melebihi 30 tahun merentasi pelbagai sektor kritikal. Portfolio kepakaran beliau merangkumi bidang teknologi kewangan (fintech), pelaburan digital, insurans, kawal selia pasaran, serta pematuhan undang-undang. Malah, beliau pernah berkhidmat di pelbagai institusi terkemuka termasuk Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Nomura Securities, Labuan FSA, KAF Investment Bank, dan RollingPay.
Melalui gandingan pengalaman matang dan kemahiran strategik yang dimiliki Mohammad Ridzuan, AEON Bank menyatakan keyakinan dan optimis yang tinggi terhadap kepimpinan beliau. Bank digital tersebut percaya pelantikan ini mampu memacu fasa pertumbuhan seterusnya, sekali gus mengukuhkan serta meluaskan jejak kumpulan di pasaran tempatan mahupun serantau pada masa hadapan.