Artikel

Bursa Sosial Kini Dilancarkan – Perluas Akses Pembiayaan Bagi Projek Kebajikan Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini secara rasmi melancarkan Bursa Sosial, sebuah inisiatif strategik untuk memperkukuh ekosistem impak sosial negara. Langkah ini bertujuan memperluas akses pembiayaan bagi projek kebajikan dan sosial tempatan, selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Langkah ini mencerminkan pendekatan seluruh negara melalui jalinan kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta.

Menerusi pelancaran tersebut, platform Impakrintas turut diperkenalkan sebagai platform Bursa Sosial pertama di Malaysia. Medium yang telah beroperasi sejak 19 Februari 2026 ini menyediakan saluran yang dikawal selia dan telus bagi membolehkan Pertubuhan Bukan Untung (NPO) mengumpul sumbangan untuk projek berimpak sosial yang layak. Kehadiran platform ini juga memberi keterlihatan yang lebih baik kepada penderma individu dan korporat, sekali gus memudahkan proses padanan dana dengan lebih cekap.

Sehingga kini, Impakrintas telah menerima penyertaan daripada lapan NPO yang merangkumi pelbagai bidang kritikal. Antaranya termasuklah akses kepada penjagaan kesihatan, program intervensi awal, pendidikan kesihatan golongan belia, keterjaminan makanan, mata pencarian inklusif, serta kelestarian alam sekitar. Kesemua projek ini disasarkan secara khusus untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan golongan rentan di seluruh negara.

Sebagai permulaan, sebanyak tiga badan korporat iaitu Zurich Malaysia, Yayasan Waqaf Malaysia dan Kumpulan Perangsang Selangor telah menyatakan komitmen awal berjumlah RM60,000, mencerminkan minat yang semakin meningkat daripada sektor swasta. Bagi menggalakkan lagi penyertaan, kerajaan turut memperuntukkan geran dana sebanyak RM2 juta yang akan ditadbir oleh SC bagi menampung sebahagian kos penyertaan dan pengumpulan dana NPO yang layak. Insentif ini bertujuan mengurangkan halangan operasi, sekali gus membolehkan NPO fokus sepenuhnya kepada penyampaian impak sosial yang bermakna.