Farm Fresh, pengeluar produk tenusu tempatan kini dilaporkan akan menaikkan harga jualan bagi sebilangan produk botol plastik terpilih bermula Jun 2026 ini – dengan kenaikan harga 3% di Malaysia dan 10% di Singapura.
Langkah ini diambil ekoran isu gangguan bekalan botol plastik global yang sebelum ini terjejas akibat konflik perdagangan. Bagi mengatasi kekangan tersebut, syarikat telah meningkatkan pengeluaran produk pembungkusan karton selain berjaya mendapatkan alternatif bahan mentah asas plastik daripada China bagi memulihkan semula rantaian bekalan mereka.
Dalam usaha memperkukuh dominasi perniagaannya di Malaysia Timur, Farm Fresh turut mengumumkan pengambilalihan sebuah syarikat pengeluar ais krim tempatan di Sabah iaitu jenama Amelia. Walaupun nilai transaksi tidak dinyatakan, pelaburan strategik ini memberikan Farm Fresh akses segera kepada rangkaian logistik yang luas, melibatkan 25 buah lori pengangkutan dan kira-kira 3,500 peti sejuk beku di kawasan utama seperti Kota Kinabalu, Tawau, dan Inanam. Kemudahan kilang sedia ada di Sabah juga akan dinaiktaraf dengan proses pempasteuran baharu untuk pasaran Borneo dan Brunei.
Bersama langkah pelarasan harga produk terpilih dan perluasan pelaburan strategik kumpulan – tindakan ini dilihat akan terus mengukuhkan lagi usaha Farm Fresh pada lanskap ekonomi serantau. Berdasarkan prestasi kewangan semasa Farm Fresh telah berjaya melonjak 22% untung bersih kepada RM129.61 juta dengan hasil melangkaui RM1 bilion, menjadikan ia pertumbuhan yang postif buat kedudukan pasaran semasa.