Asia Digital Engineering (ADE) – cabang perniagaan penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di bawah Capital A kini mengumumkan raih pembiayaan bernilai $100 juta daripada QNB Group bagi menyokong matlamat kumpulan perluaskan perkhidmatan di pasaran serantau.
Pembiayaan ini dijangka dapat mempercepatkan pelan pengembangan syarikat termasuk pelaburan pada kapasiti tambahan bagi memenuhi permintaan kukuh industri penerbangan serantau. Malah kebersamaan QNB selaku institusi kewangan terbesar di Asia Barat dan Afrika ini turut mencerminkan keupayaan ADE selaku pemain MRO yang miliki prestasi positif dan bersedia berkembang di pasaran semasa.
Menariknya dalam tempoh 5 tahun beroperasi, ADE telah berjaya menyiapkan lebih 300 pemeriksaan C-check, sekali gus membuktikan skala dan konsistensi keupayaan operasi.
Dengan kecekapan sedemikian, ADE kini mengendalikan rangkaian penyelenggaraan di 20 lapangan terbang seluruh ASEAN juga membangunkan platform digital proprietari AEROTRADE dan ELEVADE bagi memperkukuh pengurusan alat ganti dan pemantauan kesihatan pesawat di rantau Asia. Hasil komitmen itu, ADE kini miliki pengiktirafan sebagai Approved Maintenance Organisation (AMO) di 18 negara selain memperoleh kelulusan European Union Aviation Safety Agency (EASA) dan pensijilan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).