Artikel

Harga Bahan Api Pesawat Diramal Antara $120 – $130 Setong Pada 2027

Sekiranya ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan global terus berlarutan, situasi ini dilihat berupaya mendorong kenaikan harga bahan api pesawat di pasaran hadapan antara $120 setong sehingga $130 setong dalam tempoh setahun mendatang. 

Ramalan Malaysia Aviation Group (MAG) ini didasari oleh penelitian data perubahan harga semasa yang disemak kumpulan berkenaan. Sebagai rekod, syarikat penerbangan sebelum ini berdepan harga bahan api sekitar $100 setong sebelum isu konflik berlaku, dan pernah melonjak setinggi $240 setong selepas krisis tersebut meletus.

Pada masa ini, komponen bahan api menyumbang sekitar 30% daripada keseluruhan struktur kos MAG. Jika unjuran kenaikan harga ini menjadi realiti, situasi tersebut bakal menambah lagi 20% bebanan kos kepada operasi syarikat penerbangan. Melihat kepada tekanan yang kian meruncing ini, ketidaktentuan pasaran dijangka akan terus meletakkan pemain industri dalam situasi yang sukar.