Artikel

Gardenia Umum Pindah Kilang Roti Singapura Ke Johor Bahru – Seramai 141 Pekerja Terjejas

Gardenia Foods mengumumkan keputusan untuk memindahkan operasi pengeluaran bakerinya dari Pandan Loop, Singapura ke Johor Bahru, Malaysia. Langkah strategik ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kekal berdaya saing dalam mendepani cabaran perniagaan global yang semakin sengit. 

Susulan perpindahan ini, kilang di Singapura tersebut dijadualkan akan berhenti beroperasi sepenuhnya pada 30 Jun ini.

Keputusan ini secara langsung menjejaskan seramai 141 orang kakitangan di kemudahan pengeluaran berkenaan. Mengikut laporan The Edge,  pengurusan Gardenia telah mengadakan mesyuarat dalaman bagi memaklumkan perkara tersebut kepada semua pekerja yang terlibat. Syarikat turut memberi jaminan bahawa pekerja yang layak akan dipertimbangkan untuk pengisian jawatan lain yang bersesuaian di bawah rangkaian perniagaan kumpulan mereka sekiranya terdapat peluang.

Bagi membela nasib pekerja yang diberhentikan Kesatuan Pekerja Makanan, Minuman dan Bersekutu (FDAWU) bersama Institut Pekerjaan dan Kebolehkerjaan (e2i) Singapura telah mula bergerak aktif untuk memberikan sokongan. Selain menerima pampasan yang adil dan faedah penamatan kerja daripada Gardenia, kesemua kakitangan yang terjejas akan dibantu dari segi latihan semula, bimbingan kerjaya, serta padanan kerja baharu bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan lain dengan segera.