Capital A secara rasminya menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk menamatkan dan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17), berkuat kuasa pada hari ini 20 Mei 2026.
Perkembangan ini menyusuli komitmen kumpulan selama 6 tahun melaksanakan penstrukturan semula operasi syarikat. Tindakan ini dilihat berjaya memulihkan kedudukan dana pemegang saham syarikat kepada paras positif. Selaras dengan kedudukan kewangan yang telah dinormalisasikan, Capital A turut merekodkan lima suku berturut-turut keuntungan bagi perniagaan-perniagaannya, selepas mengambil kira pengecualian prestasi perniagaan penerbangan, bagi tempoh dari suku pertama 2025 hingga suku pertama 2026.
Tidak hanya itu dengan pelepasan status PN17, ini memudahkan matlamat Capital A untuk menyatukan semua syarikat penerbangan AirAsia di bawah platform yang sama sementara Capital A akan memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya yang dibangunkan untuk menjana nilai mampan, ini melibatkan Asia Digital Engineering (ADE, perniagaan MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform pelancongan dalam talian), AirAsia Next (jenama & IP) dan Santan (F&B).
Apa Itu PN17?
Status PN17 adalah satu label amalan yang dikeluarkan Bursa Malaysia untuk mengklasifikasikan syarikat awam tersenarai yang sedang mengalami masalah kewangan yang kritikal atau tidak mempunyai operasi perniagaan yang mampan. Kebiasaannya, sesebuah syarikat diletakkan di bawah status ini merupakan kumpulan yang mengalami kerugian besar sehingga ekuiti pemegang saham menyusut teruk, gagal membayar hutang atau terdapat keraguan akan keupayaan syarikat ketika semakan audit. Dengan status tersebut ia sekali gus memberi peringatan kepada kumpulan pelabur akan risiko pasaran.
Maka apabila sesebuah syarikat dikenakan status PN17, Bursa Malaysia akan menetapkan tempoh masa yang ketat untuk pihak pengurusan mengemukakan dan melaksanakan pelan pemulihan kewangan yang komprehensif. Tujuan utama tindakan ini adalah untuk melindungi dana pelabur awam serta mengekalkan integriti pasaran saham negara dengan memastikan hanya syarikat yang yang miliki rekod mampan sahaja didagangkan.