Suku pertama 2026 memperlihatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaparkan perkembangan yang positif apabila penyertaan pekerja pada medium simpanan persaraan ini terus melonjak secara berperingkat. Ketika ini KWSP memiliki lebih 18.3 juta ahli pencarum dengan kutipan caruman melonjak 13.3% kepada RM38.01 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2025 sebanyak RM33.54 bilion.
Kemajuan ini jelas makluman KWSP tidak sekadar disokong oleh penyertaan pekerja baharu pada pasaran ekonomi mahupun kemasukan pekerja asing tetapi turut didorong akan tindakan caruman sukarela. Caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM8.83 bilion bagi suku tersebut. Sementara itu, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup turut meningkat 19.8% kepada 232,305 pencarum.

Dengan jumlah caruman sedemikian, segmen pendapatan pelaburan KWSP berjaya meraih keuntungan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama 2026 iaitu meningkat 51% daripada RM18.31 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2025.
Berdasarkan perolehan untung itu, ia diperincikan Pendapatan Ekuiti meningkat sebanyak 88% daripada RM10.80 bilion pada S1 2025 kepada RM20.34 bilion pada S1 2026. Disusuli instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.76 bilion, Hartanah dan Infrastruktur pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.19 bilion dan instrumen Pasaran Wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.44 bilion. Sementara pendapatan pelaburan mengikut akaun pula menjelaskan Simpanan Konvensional telah mencatatkan perolehan RM22.63 bilion manakala Simpanan Syariah pula RM5.10 bilion.

Menerusi kepelbagaian pelaburan tersebut merentasi pasaran domestik mahupun global – langkah ini dilihat terus mengukuhkan keuntungan KWSP di pasaran semasa. Strategi tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan risiko implikasi konflik geopolitik, malah memastikan pulangan dividen kepada para pencarum kekal kompetitif.