Paras inflasi Malaysia terus memaparkan peningkatan apabila rekod pada April 2026 mencatatkan kenaikan kepada 1.9% pada pasaran semasa.
Peningkatan ini menurut tinjauan Jabatan Perangkaan (DOSM) didorong secara signifikan oleh lonjakan dalam kumpulan Pengangkutan yang naik kepada 4.1% berbanding 1.6% pada bulan sebelumnya. Selain itu, kenaikan turut disumbangkan oleh sektor Minuman Alkohol & Tembakau (2.8%), Maklumat & Komunikasi (2.0%), serta Makanan & Minuman (1.2%). Walau bagaimanapun, beberapa sektor seperti Pendidikan dan Perumahan menunjukkan trend mereda, manakala kumpulan Pakaian & Kasut kekal berada pada paras negatif 0.1%.
Dari sudut taburan negeri, 8 negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional, dengan Pahang (2.8%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (2.7%) merekodkan kenaikan tertinggi. Ini diikuti oleh Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Putrajaya, dan Selangor. Sebaliknya, Sarawak muncul sebagai negeri dengan kadar inflasi terendah di Malaysia iaitu sekadar 0.4%. Secara bulanan, inflasi keseluruhan meningkat sedikit kepada 0.4%, dipacu oleh sektor pengangkutan dan komunikasi meskipun terdapat penurunan harga dalam kategori penjagaan diri dan perumahan.
Bagi perbandingan serantau dan global pula, kadar inflasi Malaysia sebanyak 1.9% dilihat masih terkawal dan lebih rendah berbanding kebanyakan negara jiran seperti Filipina (7.2%), Vietnam (5.5%), Thailand (2.9%), dan Indonesia (2.4%). Malaysia juga mencatatkan kadar yang lebih rendah berbanding Republik Korea (2.6%). Namun, inflasi Malaysia adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan China yang hanya mencatatkan kadar 1.2% bagi tempoh yang sama.