Pasaran e-dagang Asia Tenggara kini berada pada laluan pertumbuhan yang kukuh dan dijangka menjadi pasaran kedua terpantas berkembang di dunia mengikuti India dengan kadar pertumbuhan tahunan komposit (CAGR) sebanyak 13.2% dari tahun 2024 hingga 2029.
Tinjauan 2C2P dan Antom melalui laporan How Southeast Asia Buys and Pays 2026: Unlocking SMEs’ Potential ini menunjukkan nilai pasaran e-dagang Asia Tenggara itu berupaya melonjak sebanyak 85.4% untuk mencecah AS$289.8 bilion menjelang 2029. Prestasi luar biasa ini didorong kuat oleh pertumbuhan segmen pembayaran digital, selain disokong oleh penggunaan dompet digital yang semakin popular di kebanyakan negara serantau.
Sebagai perincian, kaedah pembayaran digital dijangka menyumbang sebanyak 97% daripada jumlah keseluruhan transaksi e-dagang menjelang 2029, meningkat daripada 89% pada 2024. Lonjakan ini dipacu oleh peningkatan 104% dalam pembayaran nirtunai (tanpa tunai), pertumbuhan 107% bagi penggunaan dompet digital, serta kaedah Beli Nanti Pakai Lekas (BNPL) yang berkembang pesat sebanyak 174% dengan anggaran nilai mencecah $18.9 billion pada 2029 berbanding $6.9 bilion pada 2024.
Secara keseluruhan, trend ini bukan sahaja membuktikan akses digital yang semakin meluas dalam sistem pembayaran, malah menjadi penyelesaian utama dalam merapatkan jurang kewangan global bagi 56% penduduk dunia yang masih belum memiliki akses kepada kad pembayaran tradisional.