Shopee melalui Monee Capital secara rasminya melancarkan SFinancing-i, sebuah penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini tersedia untuk pengguna di Malaysia.
Perkhidmatan ini menawarkan akses tunai segera sehingga RM20,000 dengan tempoh bayaran balik fleksibel sehingga 24 bulan. Pengguna boleh memohon terus melalui aplikasi tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar yuran pengaktifan, dengan dana yang boleh dikeluarkan serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay.
Sempena pelancaran ini, pengguna yang baru mengaktifkan perkhidmatan ini berpeluang menikmati promosi kadar bulanan 1% untuk pembiayaan pertama mereka. SFinancing-i dibangunkan dengan kerjasama Sedania As Salam Capital dan Masryef Advisory bagi memastikan ketelusan dan pematuhan penuh terhadap prinsip kewangan Islam. Syarat kelayakannya terbuka kepada warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.
Bagi mereka yang memerlukan modal lebih besar, Monee turut memperkenalkan SFinancing-i Xtra. Versi ini menyediakan pembiayaan bertempoh sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak dengan kadar faedah bulanan yang lebih rendah, iaitu bermula dari 0.75%. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah Shopee dalam memperkukuh ekosistem kewangan digitalnya serta memberikan lebih banyak pilihan kredit kepada pengguna di Malaysia.