Artikel

Kadar Pengangguran Malaysia Kekal Rendah – Pada Paras 2.9%

Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh apabila kadar pengangguran bagi Mac 2026 kekal stabil pada paras 2.9% kepada 509,000 penganggur.

Menurut dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kedudukan ini mencerminkan momentum konsisten yang telah dipertahankan sejak Januari 2026. Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh prospek ekonomi domestik yang positif, sekali gus membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil dengan jumlah penduduk bekerja kini mencecah 16.80 juta orang dengan sebahagian besarnya disokong oleh sumbangan signifikan daripada sektor perkhidmatan yang kekal menjadi pemacu utama ekonomi. 

Dari segi pecahan data kategori berstatus pekerja merangkumi 75% atau kira-kira 12.6 juta orang daripada keseluruhan tenaga kerja di pasaran. Selain itu, trend bekerja sendiri juga menunjukkan angka yang besar dengan penglibatan seramai 3.14 juta penduduk Malaysia dalam kategori tersebut.

Bagi statistik mengikut taburan usia, kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun dilaporkan kekal pada paras 6.2%. Angka ini mewakili seramai 390,900 individu yang masih mencari pekerjaan setakat Mac lalu. Walaupun terdapat cabaran dalam segmen ini, kestabilan kadar tersebut menunjukkan bahawa penyerapan tenaga kerja muda ke dalam pasaran masih berlaku secara berperingkat seiring dengan keperluan industri semasa.

Melihat ke hadapan, DOSM optimis bahawa pasaran buruh Malaysia akan terus stabil pada bulan-bulan mendatang hasil sokongan asas domestik yang kukuh. Namun kerajaan dan pemain industri disaran untuk kekal berwaspada terhadap dinamik pasaran global. Faktor luar seperti ketegangan krisis dunia perlu dipantau rapi kerana ia berupaya mengubah landskap ekonomi dan pasaran buruh negara secara drastik dalam tempoh yang singkat.