PETRONAS memperkukuh rantaian bekalan Gas Asli Cecair (LNG) globalnya menerusi pemeteraian perjanjian pajakan jangka panjang selama 20 tahun bersama MISC Berhad.
Kerjasama strategik ini melibatkan 5 buah kapal pengangkut LNG baharu dengan kapasiti 174,000 meter padu setiap satu, yang akan dibina oleh firma perkapalan terkemuka Hudong-Zhonghua Shipbuilding Group. Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen PETRONAS dalam memastikan bekalan tenaga kekal cekap dan kompetitif di pasaran antarabangsa.
Kesemua kapal tersebut dimaklumkan akan dilengkapi dengan teknologi moden dan cekap tenaga, termasuk sistem pendorongan X-DF2.1. Teknologi ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan gas asli sebagai bahan api, malah berperanan kritikal dalam mengurangkan jejak karbon serta meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.
Berdasarkan komitmen itu, perolehan aset ini dijadualkan akan lalui penghantaran secara berperingkat bermula tahun 2029 sehingga 2030. Dengan penambahan 5 kapal baharu ini, PETRONAS mampu menjamin kelangsungan penghantaran LNG yang lebih mampan kepada pasaran global, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri tenaga dunia bagi tempoh dua dekad mendatang.