Artikel

Hanya 39% Ibu Bapa Malaysia Yakin Lindungi Data Anak – Google Lancar Inisiatif ‘Bijak Digital’

Google dan YouTube hari ini memperkenalkan inisiatif ‘Bijak Digital Bersama Google dan YouTube’ bagi memperkasa keluarga di Malaysia dengan kemahiran panduan akses digital yang selamat. Langkah ini diambil susulan penemuan jurang yang kritikal pada platform digital di mana meskipun teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang, ramai ibu bapa masih bergelut untuk menterjemahkan keyakinan mereka kepada amalan keselamatan atas talian yang berkesan.

Program ini bertujuan mengubah pendekatan daripada sekadar pemantauan aktif kepada pembinaan keyakinan digital jangka panjang bersama kumpulan anak-anak.

Tinjauan YouGov yang dijalankan bagi pihak Google mendedahkan bahawa hanya kira-kira 39% (38.9%) ibu bapa di Malaysia berasa yakin dapat melindungi data peribadi anak-anak mereka di internet. Selain itu, sebanyak 86.1% responden bimbang anak-anak mereka berisiko terdedah kepada maklumat salah atau kandungan berbahaya dalam ekosistem digital hari ini. Kebimbangan ini turut merangkumi isu pengurusan masa skrin, di mana 52.7% ibu bapa mengakui menghadapi kesukaran untuk mengawal rutin penggunaan peranti anak-anak mereka secara konsisten.

Bagi menangani isu tersebut, Google mengetengahkan pelbagai alatan kawalan seperti Family Link yang membolehkan penetapan had masa aplikasi dan pengurusan muat turun. Di platform YouTube, ibu bapa kini mempunyai fleksibiliti untuk menetapkan tempoh masa tontonan Shorts bagi mengurangkan tabiat menatal berlebihan. Selain itu, ciri seperti SafeSearch dan mod tontonan diselia di YouTube turut diperkukuhkan bagi memastikan kandungan yang diakses adalah bersesuaian dengan tahap kematangan dan usia kanak-kanak.

Google optimis usaha ini dapat membina daya tahan digital bukan sekadar pemantauan secara berterusan, tetapi berupaya melengkapkan keluarga dengan alatan dan pengetahuan yang betul. Dan melengkapi agenda itu, menerusi Be Internet Awesome, Google komited untuk memupuk kemahiran berfikir kritis dan literasi digital seisi keluarga bagi mengenalpasti maklumat palsu. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan syarikat teknologi tersebut dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih bertanggungjawab dan selamat bagi komuniti tempatan.