Artikel

OPR Masih Kekal Paras 2.75% – Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terus kekal di paras 2.75% – sebagaimana yang dilaraskan sejak Julai 2025.

Keputusan yang dicapai menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ini didasari akan pertumbuhan global yang diperhatikan kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun 2026, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan teknologi global yang terus berkembang.

Namun BNM akui peningkatan harga tenaga dan komoditi yang mendadak serta gangguan rantaian bekalan daripada konflik Timur Tengah dilihat mula mempengaruhi momentum pertumbuhan global. Risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus tinggi, berpunca daripada ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.

Secara menyeluruh prestasi dan tekanan Inflasi pasaran Malaysia bagi tahun 2026 dijangka kekal terkawal. Hal ini mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri.