Artikel

Hampir 30% Pengilang Malaysia Mula Laraskan Tenaga Kerja – Atasi Tekanan Krisis

Sektor pembuatan Malaysia kini berada dalam tahap membimbangkan apabila krisis di Asia Barat mula menjejaskan rantaian bekalan global. Perihal ini didasari berlandaskan kajian terbaharu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) melibatkan 225 syarikat di pasaran tempatan.

Situasi ini jauh lebih buruk berbanding awal tahun 2026, di mana 72% firma melaporkan operasi mereka semakin merosot akibat gangguan bekalan bahan mentah kritikal seperti logam, kimia, dan plastik yang kini sukar didapati. Gangguan logistik menjadi punca utama kenaikan kos dengan 87% pengilang melaporkan lonjakan kos pengangkutan sehingga 50%. Disusuli masa penghantaran ke Eropah kini mencecah 45 hari akibat perubahan laluan kapal, manakala isu domestik seperti kekurangan diesel subsidi turut menjejaskan pergerakan kenderaan berat di kawasan industri utama.

Tinjauan juga dapati situasi ini menyebabkan 68% syarikat mengalami tekanan aliran tunai yang serius kerana pembayaran daripada pelanggan tertunda sementara kos operasi terus melambung tinggi. Kesan krisis ini bukan sahaja menjejaskan pengeluaran, malah mula mengancam kestabilan ekonomi jangka panjang. Sebanyak 68% syarikat mencatatkan penurunan tempahan, manakala 60% telah membatalkan atau menangguhkan pelaburan dan projek automasi mereka.

Sektor pekerjaan turut menerima impak apabila 28% syarikat mula melakukan pelarasan tenaga kerja, termasuk membekukan pengambilan pekerja dan mengurangkan waktu bekerja bagi mengimbangi kerugian.

Pihak FMM melihat kedudukan ini akan memberi risiko tinggi ke atas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berdepan penutupan operasi. Memandangkan sektor pembuatan menyumbang 23.4% kepada KDNK negara, FMM menggesa kerajaan segera campur tangan melalui bantuan kos logistik, subsidi bahan api industri, dan pengecualian duti bahan mentah. Tindakan pantas diperlukan bagi mengelakkan krisis ini berubah menjadi masalah struktur yang lebih besar terhadap daya saing industri negara.