Artikel

Harga EV Import Berpotensi Cecah RM300,000 – Kesan Syarat Kemasukan Baharu Mulai 1 Julai

Syarat kemasukan bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) akan diperketatkan bermula 1 Julai ini, di mana semua model CBU perlu mematuhi had nilai Kos, Insurans, dan Tambang (CIF) minimum RM200,000 dengan kapasiti output 180 kilowatt (kW).

Ini berikutan tindakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggantikan syarat terdahulu iaitu harga jualan minimum RM250,000 bersama output kuasa 200 kW.

Penurunan had CIF ini secara tidak langsung bakal memberi tekanan kos kepada kumpulan pengedar di Malaysia. Apabila kos asas tersebut ditambah dengan duti import (5%), duti eksais (10%), cukai jualan (10%), serta margin keuntungan pengedar, harga runcit akhir bagi sebahagian besar model EV import dijangka melonjak tinggi sehingga mencecah sekitar RM300,000.

Perubahan polisi ini berpotensi menjejaskan pasaran model EV segmen pertengahan import di Malaysia, namun tidak pada stok semasa. Biarpun ia memberi tekanan kepada EV segmen pertengahan, situasi ini dilihat membuka peluang besar kepada model EV tempatan untuk menjadi pilihan utama pengguna, selain mendorong industri automotif tempatan beralih ke arah peluasan segmen yang bernilai lebih tinggi.