Pemain utama industri akuakultur, XL Holdings kini dilihat terus mengukuhkan segmen peruncitannya di pasaran Malaysia apabila bertindak mengambilalih 34 cawangan Giant Mini pada nilai RM15 juta.
Makluman kepada Bursa Malaysia ini menjelaskan, perjanjian itu dicapai melalui anak syarikatnya XL Retail bersama pembelian aset dengan Jutaria Gemilang iaitu pengendali di sebalik rangkaian Giant Mini.
Melalui transaksi ini, syarikat pelaburan pegangan tersebut mengambil alih hak operasi, sewaan premis, kelengkapan kedai, serta stok inventori sedia ada bagi kesemua cawangan Giant Mini yang terletak di sekitar Lembah Klang. Pengambilalihan yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang 31 Mei 2026 ini turut membolehkan XL mengendalikan kesemua cawangan tersebut di bawah jenama Giant Mini selama setahun – setelah itu proses penjenamaan semula akan dilaksanakan selaras dengan hak penjenamaan Giant masih di bawah DFI Retail Group.
Untuk makluman umum, XL Holdings merupakan antara pengeluar utama ikan hiasan premium di pasaran semasa serta terlibat secara aktif dalam sektor penternakan ikan komersial. Transformasi ke arah sektor peruncitan ini dilihat sebagai usaha proaktif syarikat untuk menjamin aliran tunai yang lebih stabil dan mampan bagi jangka masa panjang.