Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah memperkenalkan kemudahan baharu dengan membolehkan pembayar cukai mengakses khidmat e-Rayuan Pungutan Cukai Pegangan (WHT) menerusi portal MyTax. Melalui inisiatif pendigitalan ini, pembayar cukai tidak lagi perlu menggunakan Borang Maklum Balas Pelanggan seperti kaedah lama yang lebih umum.
Kemudahan e-Rayuan terbaharu ini khusus buat syarikat, peniaga, atau individu di Malaysia yang berurusan dengan pihak luar negara. Di bawah undang-undang, apabila anda membayar agensi atau pakar asing bagi perkhidmatan seperti yuran teknikal, royalti, atau sewa, pembayar cukai wajib laksana pemotongan sebahagian bayaran tersebut antara 10% hingga 15% untuk diserahkan kepada LHDN sebagai Cukai Pegangan.
Sistem e-Rayuan ini menyediakan pelbagai fungsi penting bagi memudahkan pembayar cukai membetulkan kesilapan transaksi tanpa perlu hadir ke kaunter LHDN. Antaranya termasuklah permohonan pelarasan bayaran jika tersilap amaun atau maklumat, tuntutan bayaran balik sekiranya terlebih bayar, serta permohonan penghapusan kenaikan cukai atau pengecualian penalti akibat terlewat.
Selain itu, pengguna juga boleh mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan cukai pegangan serta menyemak status permohonan mereka secara telus pada bila-bila masa melalui akses tersebut.