Satu tinjauan terbaharu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendedahkan realiti apabila lebih 70% daripada hampir 2,000 klinik swasta tempatan didapati gagal meraih pulangan mencukupi untuk menampung kos operasi.
Berdasarkan laporan Berita Harian, situasi ini menunjukkan sektor kesihatan primer terhimpit di antara peningkatan kos sara hidup dan keperluan mengekalkan kualiti rawatan. Data memaparkan jurang pendapatan yang kritikal, di mana sekitar 21.1% (380) klinik meraih pendapatan bawah RM20,000 sebulan, diikuti 583 klinik pula pendapatan sehingga RM39,999 sebulan (32.4%), 332 klinik pula pendapatan sehingga RM59,999 (18.4%) dan hanya 17.8% sahaja yang meraih pendapatan selesa melebihi RM80,000.
Kemerosotan margin keuntungan ini didorong oleh pelarasan kos operasi yang lebih tinggi dan lonjakan harga ubat-ubatan di pasaran. Selain beban inflasi, pengendali klinik swasta turut berdepan tekanan regulasi yang ketat serta persaingan sengit daripada penyedia perkhidmatan kesihatan atas talian. Faktor-faktor ini secara kolektif mengecilkan ruang buat klinik fizikal, terutamanya bagi pengamal perubatan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Ketidaktentuan ekonomi global dan konflik antarabangsa yang berterusan dijangka akan memburukkan lagi rantaian bekalan ubat-ubatan, sekali gus meningkatkan kos input bagi pengusaha klinik. Sekiranya tekanan kos ini tidak dibendung, ia berisiko mencetuskan gelombang penutupan klinik swasta secara besar-besaran. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan klinik, malah bakal mengurangkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang cepat dan berdekatan.
Rentetan itu, MMA melihat campur tangan dan sokongan strategik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat diperlukan bagi mengimbangi tekanan dalam sektor kesihatan swasta ini. Kelestarian operasi klinik swasta adalah penting bagi memastikan kapasiti kesihatan awam tidak terbeban secara melampau.