Artikel

Malaysia Perlukan $32.56 Bilion Elak Kerugian Besar Krisis Iklim 2050 – Bank Dunia

Tahukah anda, Malaysia diunjurkan perlu berbelanja sebanyak $32.56 bilion sekiranya ingin mengurangkan risiko bencana kritikal pada pasaran negara kesan krisis iklim menjelang 2050 kelak.

Keperluan dana ini menurut tinjauan Bank Dunia pada laporan Iklim dan Pembangunan Negara (CCDR) bagi Malaysia memerlukan pengukuhan pada perancangan guna tanah, penguatkuasaan piawaian bangunan yang lebih ketat, pelaburan dalam infrastruktur berdaya tahan banjir, serta pemulihan ekosistem semula jadi yang mampu menyerap dan menakung air dengan lebih baik.

Ini kerana kegagalan mengurangkan risiko sedemikian berupaya mendorong keperluan dana tambahan yang lebih besar dalam segmen kritikal – antaranya sekitar $69.8 bilion diperlukan untuk infrastruktur bekalan air dan $33.5 bilion pula untuk pengawalseliaan pengairan menjelang 2050. 

Lebih membimbangkan tinjauan yang telah mengenalpasti lebih 5,496 titik panas banjir di seluruh Malaysia ini turut memberi ramalan bahawa jika risiko perubahan iklim ini tidak diatasi dengan baik ia berupaya meningkatkan risiko banjir di kebanyakan lembangan sungai sekitar 15% menjelang 2100.

Diikuti risiko kenaikan paras laut turut menjadi ancaman besar, terutamanya kepada hab ekonomi pesisir pantai seperti Port Klang, Pulau Pinang, dan Johor. Untuk makluman kenaikan 1 meter berpotensi mengakibatkan kehilangan sekitar 180,000 hektar tanah pertanian dan sehingga 20% hutan paya bakau. Dan situasi ini berupaya mengurangkan hasil tanaman sehingga 6% menjelang 2050. Tatkala sektor pelancongan antarabangsa berpotensi berisiko menyusut sehingga 21.3% menjelang 2040 disebabkan situasi sedemikian mendorong kenaikan suhu lebih tinggi dan kemerosotan tarikan semula jadi di sebilangan lokasi tumpuan Malaysia.

Kedudukan ini turut memberi kesan kepada status pendapatan rakyat Malaysia secara berkala, yang mana sekitar 23% daripada penduduk Malaysia dijangka terkesan dengan isi rumah miskin lebih cenderung menderita kesan ekonomi untuk jangka masa panjang.

Secara keseluruhan, jumlah pelaburan penyesuaian risiko iklim boleh mencecah antara $852 bilion hingga $1.13 trilion dalam nilai nominal menjelang 2050, merangkumi kos menaik taraf infrastruktur, memperkukuh sistem tindak balas bencana, dan melindungi sektor ekonomi utama.