Artikel

MyKad Tampil Ciri Keselamatan Baharu Seawal Jun, MyNIISe Beroperasi Penuh September Ini

Seperti yang dimulakan secara berperingkat sejak Mac lalu, Malaysia kini dalam fasa akhir untuk melaksanakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) sepenuhnya menjelang September 2026.

Sasaran ini mengikut laporan selari dengan komitmen kerajaan untuk menambah baik ciri keselamatan pada MyKad serta pasport baharu negara, yang dijangka diperkenalkan seawal Jun ini. Langkah tersebut merupakan susulan daripada makluman awal yang pernah dibentangkan pada sidang Parlimen, November 2025 yang lalu.

Untuk rekod, Malaysia telah menggunakan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) selama lebih 20 tahun. Peralihan kepada MyNIISe bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah mampu menampung kapasiti perolehan data kemasukan pelawat serta memenuhi keperluan integrasi data semasa yang lebih kompleks.

Dengan ketersediaan infrastruktur baharu ini, rakyat Malaysia tidak lama lagi bakal menyaksikan pengenalan pasport dan MyKad berwajah baharu yang direka khusus untuk memperkukuh integriti dokumen identiti negara bersama pasaran global.