Artikel

MR DIY Perkenal Inisiatif ‘Harga Tetap Sama’ – Bantu Pengguna Depani Tekanan Kos

Ketidaktentuan pasaran semasa yang dicetuskan oleh konflik global dan tekanan inflasi dilihat memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat. Menyedari bebanan tersebut, MR D.I.Y. kini tampil dengan inisiatif Harga Tetap Sama di seluruh cawangannya. Langkah ini bertujuan membantu pengguna mengimbangi perbelanjaan mereka dengan menjamin tiada sebarang kenaikan harga berlaku bagi produk-produk terpilih sepanjang tempoh kempen.

Inisiatif yang bermula pada awal Mei ini bermatlamat untuk mengurangkan tekanan kewangan isi rumah di Malaysia, khususnya dalam perolehan barangan keperluan harian. Melalui komitmen ini, segala pelarasan harga bagi produk yang terlibat akan dibekukan, sekali gus memastikan pengguna tidak terkesan oleh lonjakan kos bekalan atau faktor ekonomi semasa yang tidak menentu.

Menurut MR D.I.Y. pada notis hari ini, inisiatif ini merangkumi pelbagai kategori produk, bermula daripada kelengkapan rumah, barangan persekolahan sehinggalah kepada barangan asas yang lain. Dengan adanya akses harga konsisten seperti ini, pengguna di seluruh negara dapat terus memiliki barangan keperluan berkualiti pada harga yang mampu milik dan kompetitif tanpa perlu rasa bimbang. Berdasarkan komitmen itu, insiatif ini dijangka berlangsung sehingga akhir Jun 2026 kelak.