Bermula 4 Mei 2026, perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura akan diperluaskan bagi meningkatkan fleksibiliti operasi dan memudahkan pergerakan penumpang. Melalui kerjasama antara Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia, inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan serta jalinan sesama rakyat.
Langkah ini juga merupakan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan persaingan yang adil serta melindungi pemandu tempatan daripada ancaman perkhidmatan pengangkutan haram yang tidak dikawal.
Di bawah skim baharu ini, teksi berlesen dari kedua-dua negara akan dibenarkan menurunkan penumpang dengan lebih meluas. Teksi dari Malaysia kini boleh menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di Singapura, manakala teksi Singapura dibenarkan beroperasi di kawasan ditetapkan di Johor termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai, dan Senai. Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, kuota teksi bagi setiap negara akan ditambah sebanyak 100 unit, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 300 buah teksi bagi setiap pihak. Kuota itu disasarkan meningkat secara berperingkat kepada 500 teksi.
Manakala bagi langkah kawalan dan penguatkuasaan, semua teksi yang terlibat wajib mematuhi piawaian perkhidmatan yang diselaraskan. Antaranya pemasangan peranti pemantauan khas bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan dengan berkesan serta kenderaan tidak melebihi usia 10 tahun.
Inisiatif ini bukan sahaja menjanjikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar malah menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan antara dua negara.