Artikel

Semua Kementerian Dilaporkan Perlu Semak Belanja Operasi, Sasar Penjimatan RM10 Bilion

Kementerian Kewangan (MOF)  dilaporkan telah memaklumkan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi mereka bagi tahun 2026. Langkah ini diambil susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang telah mencetuskan lonjakan harga minyak mentah dunia dan kos logistik semasa.

Mengikut laporan FMT, perbelanjaan subsidi Malaysia tahun ini dijangka mencapai sekitar RM58.4 bilion. Di mana jumlah ini melebihi peruntukan asal Belanjawan 2026 yang hanya menetapkan RM15 bilion untuk tujuan subsidi.

Bagi menangani defisit tersebut, kerajaan menyasarkan penjimatan keseluruhan sehingga RM10 bilion melalui pelbagai potongan strategik. Antara pertimbangan yang dikemukakan termasuklah pemotongan 10% bagi perkhidmatan, bekalan, dan aset serta pengurangan 20% bagi bajet badan berkanun dan syarikat berhad menurut jaminan (CLBG). Kementerian utama seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi turut terkesan dengan cadangan pemotongan berjumlah RM5.4 bilion, manakala peruntukan bagi jawatan kosong yang tidak diisi juga akan dibekukan. Perincian lain melibatkan kementerian berikut:

  • Kementerian Dalam Negeri: RM647 juta
  • Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah: RM571 juta
  • Kementerian Pertahanan & Kementerian Digital: Masing-masing RM508 juta
  • Kementerian Pendidikan: RM466 juta

Selain pemotongan fiskal, semua agensi diarahkan menangguhkan acara rasmi yang tidak penting dan mengutamakan penggunaan platform atas talian sebagai langkah penjimatan. Semua kementerian diberi tempoh sehingga 15 Mei 2026 untuk menyerahkan pelan semakan bajet kepada Pejabat Belanjawan Negara bagi memastikan kestabilan ekonomi negara kekal terpelihara.