Artikel

Jumlah Bilionair Malaysia Dijangka Meningkat – Naik 39% Menjelang 2031

Malaysia kini dilihat terus mengukuhkan kedudukan di tangga ke-15 dalam senarai negara yang miliki pertumbuhan bilionair yang cepat pada pasaran dalam tempoh 5 tahun kelak. Momentum ini dijangka berterusan dengan unjuran lonjakan jumlah bilionair Malaysia sebanyak 39% menjelang tahun 2031.

Laporan daripada Knight Frank Wealth menunjukkan bahawa jangkaan ini didasari oleh peningkatan kekayaan peribadi serta aliran pemilikan aset hartanah premium yang kekal positif, selaras dengan pertumbuhan ekonomi tempatan yang konsisten.

Di peringkat global, landskap individu ultra-kaya (UHNWI) turut menyaksikan pertumbuhan luar biasa dengan penambahan seramai 162,191 individu dalam tempoh antara 2021 sehingga 2026. Rekod bagi mereka yang memiliki aset melebihi $30 juta ini menunjukkan bahawa sekitar 89 individu berjaya meraih status ultra-kaya pada setiap hari dalam tempoh tersebut. Trend ini mencerminkan aliran pengumpulan kekayaan yang semakin rancak di seluruh dunia.

Bagi konteks Malaysia pula, bilangan individu ultra-kaya berpotensi meningkat sebanyak 20.1% dalam tempoh lima tahun akan datang. Jumlah tersebut dijangka berkembang daripada 1,566 individu kepada 1,881 individu menjelang tahun 2031. Unjuran ini menunjukkan daya tahan ekonomi negara yang mampu melahirkan lebih ramai individu bernilai tinggi dalam tempoh yang singkat.

Pertumbuhan yang dijangkakan ini ternyata jauh lebih agresif berbanding prestasi lima tahun sebelumnya (2021-2026) yang sekadar mencatatkan kadar sekitar 6.5%. Peningkatan mendadak ini memberi isyarat jelas mengenai peralihan struktur kekayaan di Malaysia, di mana pemilikan aset strategik dan kestabilan pasaran menjadi pemacu utama kepada kemunculan kelompok elit ekonomi baharu ini.