Terengganu dijangka akan menikmati limpahan hasil sekitar RM10 juta berikutan pembangunan projek fotovoltaik solar terapung hidro-hibrid (HHFS) di Tasik Kenyir di bawah usaha strategik Terengganu Incorporated dengan kerjasama TNB Power Generation (TNB Genco).
Usaha ini merupakan langkah penting untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negeri. Selain menjana tenaga hijau, projek ini bertujuan mengurangkan kebergantungan Terengganu terhadap royalti minyak dalam jangka masa panjang.
Berdasarkan perancangan tersebut fasa pertama projek berskala gergasi ini disasar melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM1.96 bilion dengan kapasiti 600 megawatt (MW), yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028. Pembangunan fasa awal ini bukan sahaja memperkukuh infrastruktur tenaga mampan, malah bakal membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 5,000 tenaga kerja, dengan lebih 50% daripadanya dikhaskan untuk anak tempatan. Selain itu, projek ini turut dilengkapi sistem storan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 1.23 gigawatt-jam (GWh) bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik.
Setelah fasa pertama selesai, Terengganu Inc merancang untuk meneruskan pembangunan fasa kedua dan ketiga yang disasarkan siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Apabila ketiga-tiga fasa ini direalisasikan sepenuhnya, kapasiti keseluruhan tenaga yang dijana mampu mencecah sehingga 2.5 gigawatt (GW).
Pencapaian ini sekali gus akan meletakkan projek solar terapung Tasik Kenyir sebagai peneraju utama dalam transisi tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.