Negara kini berdepan isu kritikal apabila hampir 39,000 kilometer paip jenis lama iaitu Asbestos Cement dilaporkan telah usang dan perlu digantikan dengan segera.
Makluman Bahagian Ekonomi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada sesi Selamat Pagi Malaysia minggu lalu ini menjelaskan isu sedemikian merangkumi hampir 30% daripada seluruh rangkaian paip di Semenanjung dan Labuan daripada 140,000 km rangkaian paip sedia ada. Kesan kualiti paip yang rapuh dan mudah pecah banyak air yang sudah dirawat bocor dan pembaziran ini menyebabkan Malaysia perlu menanggung kerugian yang besar.
Setakat ini lebih RM2 bilion setahun direkodkan kesan isu air tidak berhasil (NRW) dan jika ia tidak atasi jumlah kerugian tersebut berupaya melonjak sehingga RM4 bilion setahun menjelang 2030.
Situasi ini tidak sekadar merugikan perbelanjaan negara bahkan faktor ini turut menjadi antara punca gangguan bekalan air secara tiba-tiba. Ditambah pula dengan kesan perubahan iklim yang membuatkan sumber air mentah semakin berkurangan. Maka dengan risiko tersebut, penambahbaikan infrastruktur air wajar disegerakan di samping negara memanfaatkan teknologi semasa. SPAN antaranya mencadangkan agar penggunaan teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan meter pintar diperluaskan untuk mengesan kebocoran dengan lebih cepat. Selain itu, penstrukturan semula harga tarif air juga penting bagi memastikan syarikat air mempunyai modal untuk melabur dalam pembinaan paip baharu.