Artikel

Malaysia Tumpu 3 Strategi Utama – Depani Gelombang Kedua Krisis Bekalan Global

Dalam usaha mendepani gelombang kedua krisis bekalan tenaga dunia, Malaysia kini memaklumkan akan menumpukan kepada 3 strategi utama dalam memastikan pasaran negara kekal stabil tatkala sumber global semakin meruncing kesan lanjutan konflik di Asia Barat.

Strategi utama tersebut menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada sidang petang tadi, adalah menjamin bekalan keperluan asas rakyat, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemat serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi. 

Pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat terus dilindungi tatkala negara teruskan usaha menyesuaikan kedudukan bekalan mengikut perubahan global. Dan biarpun negara kekal optimis akan persediaan semasa, dengan lanjutan krisis tersebut rakyat diminta untuk bersedia akan sebarang pelarasan harga ke atas barangan tertentu. Potensi kenaikan harga ini berikutan jangkaan gangguan bekalan sementara ke atas sebilangan barangan di pasaran kelak.

Menyedari tekanan kos itu, kerajaan memberi jaminan untuk memastikan kesan ke atas rakyat terus diminimumkan dengan pelbagai sokongan. Oleh itu semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dengan menggunakan sumber secara berhemat dan mengelakkan sebarang pembaziran demi keperluan di masa hadapan.