Artikel

Bilangan Kediaman Di Malaysia Kini Meningkat – Kepada 10.9 Juta

Statistik terbaharu menunjukkan bilangan tempat kediaman (TK) di Malaysia dianggarkan mencecah 10.9 juta unit pada tahun 2025, meningkat daripada 9.6 juta unit yang direkodkan pada 2020. Dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 2.5%, Selangor kekal sebagai negeri yang memiliki kepadatan kediaman tertinggi dengan jumlah 2.5 juta unit. Sementara pertumbuhan paling pesat pula diterajui oleh W.P. Putrajaya (4.1%), diikuti oleh Johor (3.0%) dan Melaka (2.9%).

Data Jabatan Perangkaan (DOSM) ini menjelaskan Malaysia kini memasuki fasa keempat transisi demografi, yang bermaksud masyarakat kita kini mempunyai saiz keluarga yang lebih kecil dan pertumbuhan penduduk yang lebih perlahan berbanding era 80-an dan 90-an. Ini dibuktikan dengan pertumbuhan kediaman tertinggi pernah direkodkan pada tahun 1980 (4.5%), manakala puncak pertumbuhan penduduk pula berlaku pada tahun 1991 (2.6%).

Kesannya, kerajaan dan pemaju perlu lebih berhati-hati dalam merancang polisi perumahan kerana keperluan masa depan bukan lagi tentang membina sebanyak mungkin rumah, tetapi membina kediaman yang lebih tepat mengikut perubahan gaya hidup dan struktur penduduk yang semakin matang.

Dari sudut status pemilikan, majoriti kediaman di Malaysia adalah di bawah milikan persendirian (didiami sendiri) iaitu sebanyak 71.4%. Ini diikuti oleh kediaman yang disewa (18.9%), milikan swasta (3.4%), serta milikan kerajaan (2.8%).

Mengenai pasaran sewa, data menunjukkan sekitar 1.5 juta isi rumah menyewa kediaman pada tahun 2020. Sebanyak 92.8% daripada penyewa ini membayar kadar sewa bulanan di bawah RM1,499. Menariknya, kategori rumah landed mendominasi pasaran sewa mampu milik (bawah RM1,499) dengan komposisi 59.1%. Sebaliknya, bagi segmen sewa lebih tinggi (melebihi RM1,500), kategori rumah bertingkat pula mencatatkan peratusan tertinggi iaitu melebihi 70%, sekali gus menunjukkan nilai premium bagi kediaman jenis pangsapuri atau kondominium di kawasan bandar.

Biarpun kos pemilikan dan penyewaan dilihat terus meningkat pada pasaran semasa – tinjauan data ke atas 2.2 juta penduduk berusia 21 tahun ke atas ini jelas menunjukkan masih ramai penduduk negara telah mengatur perancangan pemilikan kediaman di masa hadapan. Yang mana majoriti responden (37.4%) merancang untuk memiliki rumah dalam tempoh melebihi 6 tahun, manakala 32.8% berhasrat memilikinya dalam tempoh 0-3 tahun. Data mengikut jantina menunjukkan corak yang hampir serupa, di mana wanita menunjukkan keinginan sedikit lebih tinggi (33.2%) untuk memiliki rumah dalam tempoh terdekat (0-3 tahun) berbanding lelaki (32.4%). Ini menunjukkan bahawa motivasi pemilikan rumah kekal utuh dalam kalangan generasi muda walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi.