Malaysia melakar sejarah baharu dalam pengurusan fiskal apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) berjaya mencatatkan kutipan cukai tertinggi berjumlah RM203.991 bilion bagi tahun 2025.
Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari HASiL ke-30 itu memperlihatkan lonjakan ketara direkodkan dalam kutipan hasil negara dengan sebanyak RM19.186 bilion, atau peningkatan 10.38% berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keteguhan ekonomi negara, malah mencerminkan tahap kepatuhan pembayar cukai yang semakin meningkat serta keberkesanan tadbir urus percukaian masa ini.
Menariknya prestasi ini turut memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan untuk melunaskan tanggungjawab kepada rakyat, terutamanya dalam aspek bayaran balik cukai. Sebanyak RM11.4 bilion peruntukan tambahan telah berjaya diselesaikan bagi memastikan setiap hak pembayar cukai dikembalikan dengan segera ke pasaran domestik. Langkah ini membuktikan bahawa sistem percukaian negara kini bukan sahaja efektif dalam memungut hasil, malah cekap dalam menguruskan aliran tunai demi keseimbangan ekonomi negara.