Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia celik dan memiliki peluang menyertai pasaran modal semasa – Bursa Malaysia kini perkenalkan Program Pelaburan Nasional (NIP) yang direka khusus buat golongan B40 dan M40
Bersama sokongan pembiayaan Yayasan Bursa Malaysia, perserta program ini akan meraih kemahiran dan pengetahuan secara percuma tanpa sebarang caj yuran. Berdasarkan kriteria insiatif terbuka kepada kumpulan pengguna yang memiliki pendapatan isi rumah bawah RM7,689 dan berusia antara 18 tahun sehingga 50 tahun.
Dan berdasarkan pembukaan tersebut, Bursa telah meraih lebih 5,000 permohonan namun untuk fasa pertama hanya 550 peserta akan mengikuti program tersebut. Jelas Bursa, rekod ini bermakna ramai pihak memaparkan minat yang tinggi untuk mengetahui lanjut tentang arena pelaburan negara.
Sebagai perincian, fasa pertama program ini akan dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap asas melibatkan perkongsian kemahiran pengurusan kewangan peribadi, simpanan, pengenalan aset pelaburan, pemahaman penyata kewangan dan kesedaran berhubung isu penipuan kewangan. Sementara tahap kedua melibatkan kemahiran pertengahan pula para peserta akan didedahkan dengan teknik pelaburan yang lebih praktikal merentasi pelbagai portfolio pelaburan serta pengurusan risiko dan aliran sentimen perdagangan.