Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) memaklumkan landskap kewangan negara dilihat terus melonjak bersama sokongan digital – apabila merekodkan 8.44 bilion transaksi pembayaran digital sepanjang tahun 2025.

Peningkatan drastik ini didorong oleh penerimaan meluas merangkumi sektor perbankan, perniagaan kecil, dan penggunaan harian rakyat seperti pembelian runcit serta pengangkutan. Trend ini selaras dengan Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026 Bank Negara Malaysia (BNM) yang memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur pembayaran yang cekap, selamat, dan inklusif bagi seluruh lapisan masyarakat.
Pertumbuhan ini turut menyaksikan pengukuhan akses di kawasan luar bandar, khususnya di Terengganu, Kelantan, dan Kedah yang mencatatkan peningkatan transaksi sehingga tiga kali ganda. Dengan lebih 3 juta titik sentuh DuitNow QR di seluruh negara, termasuk penyertaan besar daripada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS), pembayaran digital kini bukan lagi satu pilihan tetapi telah menjadi rutin harian. Tidak hanya itu inisiatif sokongan seperti PayNet Digital Campus dan Cashless Boleh dilihat juga memainkan peranan penting dalam membudayakan transaksi digital dalam sektor awam dan komuniti pendidikan.
Selain itu, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan negara bagi menangani ancaman penipuan kewangan yang semakin canggih. Melalui National Fraud Portal (NFP), PayNet bersama institusi kewangan telah berjaya mengesan kira-kira 57,700 akaun mangsa dan mengenal pasti RM46 juta dana untuk proses pemulangan pada tahun 2025. Dengan tahap ketersediaan perkhidmatan setinggi 99.995%, infrastruktur pembayaran negara memiliki keupayaan dalam memproses purata 260 transaksi sesaat bagi mengekalkan kepercayaan pengguna.

Bergerak ke hadapan, Malaysia kini memperluas pengaruh digitalnya ke peringkat serantau menerusi rangkaian pembayaran QR rentas sempadan yang menghubungkan negara dengan Singapura, Thailand, Indonesia, China, dan Kemboja. Transaksi QR antarabangsa telah meningkat 2.5 kali ganda, sekali gus membuka peluang besar kepada peniaga tempatan untuk menembusi pasaran ASEAN. Perkembangan ini dijangka akan terus merancakkan ekonomi negara, terutamanya dalam menyokong sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.