Affin Bank hari ini secara rasminya telah melengkapkan tindakan mengambilalih Pheim Asset Management Sdn Bhd (Pheim AM) secara tunai pada nilai RM50 juta sebagai langkah strategik untuk memperkukuh segmen pengurusan kekayaan.
Berdasarkan kenyataan media, integrasi ini membolehkan Affin menawarkan penyelesaian pelaburan yang lebih bersepadu dan meluas, sekali gus mengukuhkan kedudukan bank sebagai kumpulan perbankan universal yang lebih berdaya saing.
Pheim AM yang ditubuhkan sejak 1993 ini untuk makluman menguruskan aset bernilai RM832.8 juta melibatkan perkhidmatan pengurusan aset konvensional, Islam, dan unit amanah. Kini, Pheim AM akan beroperasi sebagai anak syarikat milik penuh Affin bagi menyokong penyediaan portfolio pelaburan yang lebih khusus untuk pelanggan runcit dan korporat.
